Prince & Princess

Sunday, 3 November 2013

MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT



Assalammualaikum semua..

Aen nak ajak u'olls manfaatkan masa yang ada dengan melakukan amalan-amalan yang berfaedah seperti di bawah ni..Kita selalu saja tersasar disebabkan bisikan Syaitan, Jin dan Iblis. Ini yang melemahkan iman kita. Ya Allah Ya Tuhanku, semoga Aen dan anda semua diberi kekuatan untuk melawan hawa nafsu dan selamat dari kegelapan, kejahilan dan kejahatan dunia ini.

Amalan ini jika dipraktikkan akan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah swt dalam usaha mencari keredhaan dari-Nya kerana hidup di dunia ini hanyalah sementara dan akhirat merupakan kehidupan yang kekal abadi.


1.  Segerakan Solat

Dengar saja azan berkumandang, tinggalkan segala apa yang sedang kita lakukan dan terus berwuduk untuk menunaikan solat, sebelum kita dilekakan dengan bisikan Syaitan. Ini bermakna kita jangan sengaja melewatkan setiap solat yang telah difardhukan kepada kita. Perbuatan ini tidak disukai oleh Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud "Kecelakaan bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya"(al-Ma'un:4:5) Rasullullah saw bersabda : "Yang membezakan (seorang itu mukmin) dan kufur serta syirik adalah meninggalkan solat"(Riwayat Muslim).



2.  Memakai Selipar ke Tandas

Setiap kali kita hendak masuk ke tandas atau bilik air, gunakan selipar. Dikhuatiri kita terbawa keluar najis yang boleh mengotori seluruh rumah tanpa kita sedari. Ia juga menjaga kebersihan kaki kita.



3.  Makan dan Minum

Pastikan setiap kali kita makan dan minum, peralatan yang digunakan dalam keadaan baik. Jangan makan dan minum di dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh hukumnya kerana ia membahayakan. Jangan bernafas dalam minuman atau meniup ke dalam minuman. 



4.  Menjaga Kebersihan

Islam menggalakkan kebersihan dan benci pada sifat pengotor. Kebersihan dapat menjauhkan kita dari penyakit. Basuh pinggan mangkuk setelah digunakan. Makruh jika tidak dicuci. Sisa-sisa makanan yang dibiarkan semalaman adalah menjadi habuan Syaitan. Syaitan suka pada makanan yang kotor dan busuk. 



5. Jangan Tidur Selepas Solat Subuh

Kita tidak digalakkan tidur selepas Solat Subuh kerana dikatakan nanti rezeki mahal, susah nak masuk. Pintu rezeki dan keberkatan dibuka dan dibahagikan selepas Solat Subuh. Ibn Hibban dalam sahihnya berkata, Rasulullah saw melewati anaknya Fatimah r.a yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka baginda bersabda:"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah swt membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari".(Riwayat al-Baihaqi)



6.  Membaca Bismillah

Mulakan sesuatu perkara dengan membaca Bismillah. Bila ditinggalkan Bismillah dan  Doa Makan, kelak makanan itu akan dikongsikan dengan Syaitan. Zat makanan diambil oleh Syaitan.Rasulullah saw bersabda:"Rasulullah saw(pada suatu ketika) duduk di situ dan ada seorang lelaki yang makan tanpa membaca Bismillah, sehingga makanannya tidak tertinggal melainkan sesuap saja, tiba2 lelaki itu membaca Bismillahi awwalu waakhir Kemudian Nabi Muhammad saw ketawa lalu bersabda:"Tidak henti-hentinya Syaitan tadi makan bersama orang itu. Tetapi setelah lelaki itu mengucapkan nama Allah (yakni setelah membaca Bismillah), Maka Syaitan tadi memuntahkan seluruh makanan yang telah ada dalam perutnya"(Riwayat Abu Dawud dan Nasa'i) 


Marilah kita sama-sama mencari keredhaan Allah swt dengan mempertingkatkan segala amal ibadat dan berakhlak mulia serta memiliki sifat Mahmudah agar kita menjadi mukmin yang soleh dan bertaqwa dan dikasihi oleh Allah swt. Amin.



No comments:

Post a Comment

Share your comment here..Thank you..

Get Update by Email